Nikmat Syukur
Berbuat Baik (kebajikan) dan Kesan-kesannya
“Dwan! Tak datang kelas ke? Ustaz dah ada ni…” bunyi SMS dari K.Hasna al-Caring menyebabkan aku terjaga dari tidur…” aduh! Dah pukul 10.10 am? Aku dah terlewat ni” bisik hati kecilku. Sebelum itu, malam semalam kawan lama aku (Amir) datang dan bermalam di bilik. Jadi, dah lama tak jumpa sembang sakan la sehingga pukul 3 pagi…macam-macam kenangan dulu diimbau bersama. Tambah pulak kawan kami (Azizan) yang berada di Mesir juga berborak sekali melalui handphone…lagi rancak la.
Selesai solat subuh kami borak-borak sejekap. Pukul 8 am kami pergi sarapan bersama dekat gerai makan bersebelahan sek.teknik Gombak dan kemudian kami pergi membeli minyak motor di greenwood sekejap. Pukul 9 am, Amir pulang ke kem tentera Sungai Besi dan sementara tunggu nak pergi kelas aku membelek-belek dulu surat khabar Sinar Harian yang di beli tadi…dah ngantuk sangat aku pun lelapkan mata sekejap. Sebab tu lewat ke kelas 15 minit. He!he! Tapi nasib baik ust baru nak start nagajar…
Dr. Abd Razak as-Sa’di memilih artikel yang ditulis oleh Syeikh Ali Tantawi yang bertajuk ‘Berbuat Baik dan Kesan-kesannya’ untuk dipelajari pada hari ini. Pada pandangan saya artikel ini sangat baik untuk dikongsi bersama. Oleh kerana ia ditulis dalam bahasa Arab, jadi saya hanya mampu merumuskan dan mengambil isi-isi yang penting sahaja untuk dikongsi dengan semua.
Syeikh Ali Tantawi telah menulis satu artikel dalam majalah al-Iza’ah yang disebarkan pada tahun 1956. Risalah tersebut sangat bermanfaat kepada semua. Di permulaan artikel, beliau menceritakan tentang kehidupannya yang serba mencukupi, beliau rasa bersyukur dengan nikmat yang dikurniakan oleh Allah S.W.T. padanya. Segala kelengkapan rumah dan keperluan lain mencukupi. Beliau tidak mengeluh walau sedikit pun dan tidak berhajat untuk menuntut supaya di tambah lagi.
Beliau mengucapkan kalimah syukur ’Alhamdulillah’ (الحمد لله) dengan mengeluarkannya dari sudut hatinya. Kemudian beliau berfikir sejenak, الحمد bukanlah kalimah yang dituturkan dengan lisan semata-mata walaupun sebanyak 1000 kali. Akan tetapi, الحمد (pujian & syukur) ke atas nikmat yang dikurniakan adalah dengan memberi sebahagiannya kepada sesiapa yang memerlukannya. Bersyukur bagi orang kaya dengan memberi sedekah dan bantuan kepada fakir miskin, orang yang kuat menolong orang yang lemah dan kurang kemampuan, orang yang sihat membantu orang yang tidak sihat, dan seorang hakim hendaklah berlaku adil terhadap orang yang dihukum.
Kemudian beliau menimbulkan satu persoalan untuk kita sama-sama berfikir, beliau berkata: Adakah aku dikira bersyukur pada Allah S.W.T. ke atas segala nikmat dikurniakan sekiranya anak-anakku berada dalam keadaan kenyang dan senang lenang sedangkan jiranku serta anak-anaknya berada dalam keadaan lapar dan kesejukan? Dan jika jiranku tidak meminta dariku, adakah aku tidak perlu bertanya tentang keadaannya (ambil berat)?
Lalu isteri beliau bertanya tentang apa yang sedang difikirnya? Dengan mudah beliau menjawab: Aku berfikir tentang hamba (orang susah / fakir miskin). Si isteri pun menambah, buat apa susah-susah nak tolong orang miskin? Kamu akan menjadikan dirimu miskin sebelum kamu dapat mengakayakan mereka…(di sini Dr. Abd Razak mengingatkan pelajar-pelajar perempuan agar tidak bersikap sedemikian). Ramai yang ketawa…he!he!
Syeikh Ali Tantawi meneruskan dialognya dan berkata: Kalau aku kaya pun, belum tentu aku dapat memberi kekayaan kepada mereka (fakir miskin). Allah S.W.T. memberi rezeki kepadaku seperti rezeki seekor burung, keluar pagi dalam keadaan lapar dan pulang di petang hari dengan kekenyangan. Aku tidak berniat nak mengakayakan fakir dan miskin (maksudnya dia hanya nak membantu setakat mana yang mampu mengikut rezeki yang Allah kurniakan padanya dan mungkin dengan bantuan tersebut tak dapat nak memberi kekayaan kepada golongan fakir miskin).
Sebenarnya kaya atau miskin merupakan perkara yang subjektif (nisbah), tambah beliau. Jika dibandingkan antara Jutawan dengan diriku sudah semestinya aku tergolong dalam kelompok orang-orang fakir. Kalau bandingkan diriku dengan orang yang kurang kemampuan dariku nescaya aku tergolong dalam golongan orang kaya. Begitu juga dengan masalah besar atau kecil, perkara ini juga subjektif. Burung pit-pit besar atau kecil? Kalau jawab kecil, mungkin dibandingkan dengan seekor gajah. Tapi, pit-pit sangat besar jika dibandingkan dengan semut kecil. Kesimpulannya beliau berkata: Aku jutawan jika dibandingkan dengan si janda (miskin) dan aku fakir (miskin sangat) jika dibandingkan dengan raja-raja dan jutawan.
Pengajaran yang boleh di ambil: Bantulah orang-orang susah mengikut kemampuan kita. Jangan jadi kedekut. Jangan nak tunggu kaya baru nak bantu orang. Kalau kita ada empat helai pakaian sedangkan jiran kita menderita kesejukan kerana tidak ada kemampuan untuk membeli pakaian, maka berilah (sedekah) kepadanya satu helai. Banyak kebaikannya.
Syeikh Ali Tantawi turut menceritakan tentang kelebihan orang bersedekah mengikut pengalamannya. Beliau menceritakan kisah Syeikh Salim al-Maswati Rahimahullah, bapa kepadanya. Suatu hari ketika hendak berbuka puasa di bulan Ramadhan, sedang makanan sudah terhidang, hanya menunggu waktu berbuka sahaja. Tiba-tiba datang seorang perempuan dengan bersumpah bahawa beliau dan anak-anaknya tidak ada makanan untuk berbuka. Lalu Syeikh Salim memberi kesemua makanan yang terhidang kepada perempuan tersebut tanpa memikir panjang.
Bila mana isterinya melihat tindakannya itu lalu beliau memarahi tindakan Syeikh. Mengapa bagi kesemua? Habis tu kita nak berbuka dengan apa? Dll..Belum pun setengah jam berlalu, tiba-tiba ada seorang datang mengetuk pintu rumahnya dengan membawa pelbagai makanan yang mewah-mewah. Lebih baik dari yang disedekahkannya tadi. Syeikh pun bertanya: dari mana semua ini? Utusan tersebut menajawab: Dari Yang Amat Berhormat Syamwin, beliau telah menjemput beberapa orang pemuka untuk berbuka puasa, tetapi mereka tidak dapat hadir. Beliau pun berang dan tak nak makan. Lalu beliau mengarahkan supaya makanan tersebut dihantar ke rumah Syeikh Salim al-Maswati.
Lalu Syeikh Salim pun mengusik isterinya: Apakah kamu tidak melihat wahai perempuan? (Beliau merujuk kepada rezeki yang tidak terhingga daripada Allah S.W.T. kepada mereka, bahkan lebih baik dari apa yang disedekahkan kepada perempuan miskin tadi).
Firman Allah S.W.T.:
مَّثَلُ الَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمْوَالَهُمْ فِي سَبِيلِ اللّهِ كَمَثَلِ حَبَّةٍ أَنبَتَتْ سَبْعَ سَنَابِلَ فِي كُلِّ سُنبُلَةٍ مِّئَةُ حَبَّةٍ وَاللّهُ يُضَاعِفُ لِمَن يَشَاءُ وَاللّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ
“Perumpamaan (nafkah yang dikeluarkan oleh) orang-orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah adalah serupa dengan sebutir benih yang menumbuhkan tujuh bulir, pada tiap-tiap bulir seratus biji. Allah melipat gandakan (ganjaran) bagi siapa yang Dia kehendaki. Dan Allah Maha Luas (karunia-Nya) lagi Maha Mengetahui.” [al-Baqarah: 261]
Inilah yang dinamakan jaza’ rabbani (ganjaran Tuhan) yang dimasukkan terus ke dalam akaun Bank al-Hasanat (بنك الحسنات) atau Bank al-Ilahi (بنك الإلهي) yang lebih menguntungkan baik di dunia dan di akhirat. Mungkin kita sahaja yang tidak dapat melihat kelebihan tersebut. Hanya Allah S.W.T. yang mengetahuinya, Dialah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Kelebihan ini sangat sukar untuk dibandingkan dengan faedah 5% yang diberikan oleh Bank al-Makhluq (بنك المخلوق) seperti Bank Muamalat, CIMB Bank, RhB Bank dan Hong Leong Bank yang mungkin keuntunganya dari sumber yang haram.
Yakinlah dan Berimanlah: Hanya Allah S.W.T. tempat kita bergantung harap…
2 comments:
salam..
bagus ceritanya...
Sedekah, dan mengikhlaskannya. Tetap jua berat dilakukan andai hati dibungkus hasad dan keegoan. Semoga kita semua dalam lundunganNYA.
Post a Comment